Memastikan dasar, perancangan pertahanan disesuaikan dengan perkembangan geopolitik serantau





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Na'il Haris Haji Muhd. Nikman





RIMBA, Ahad, 31 Mei. - Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah banyak mencapai perkembangannya, baik dari segi saiz organisasi mahupun dari segi keupayaannya.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyatakan perkara berkenaan ketika berkenan mengurniakan titah pada Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-65 di Padang Kawad, Pangkalan Tentera Udara, Rimba, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), di sini.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah mengambil maklum mengenai pelancaran Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 oleh Kementerian Pertahanan pada hari ini dan ia adalah satu langkah strategik yang amat signifikan dalam memastikan dasar dan perancangan pertahanan negara terus disesuaikan dengan perkembangan geopolitik serantau dan global.


Dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menegaskan selaras dengan hala tuju strategik yang digariskan melalui Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 dan Gagasan Angkatan 2035 yang didukung oleh dokumen penting : Force Structure Review, Defence Posture dan Capability Development Plan, baginda gembira mengambil maklum bahawa ABDB akan terus berkembang dengan tertubuhnya beberapa unit baharu yang akan meningkatkan lagi kewibawaan dan keupayaan ABDB.


"Bagi Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), beta telah memperkenankan penubuhan Pusat Latihan Gabungan Tempur (PULGAT) yang menggabungkan kesemua cawangan latihan bagi kompetensi operasi TDDB di bawah satu pemerintahan.


"Dalam memperkukuhkan lagi interoperabiliti, di peringkat Operasi Khas Bersama yang bersejarah, beta sukacita memperkenankan penubuhan Markas Operasi Khas (Special Operations Command) sebagai Pusat Perintah dan Kawalan yang akan menyelaras operasi khas di antara Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB selaku Pasukan Tier 1 bersama Pasukan Khas Tier 2 di unit-unit ABDB, iaitu Pasukan Komando - TDDB, Skuadron Gerak Khas Maritim - Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Pasukan Khas - TUDB yang akan berkuat kuasa mulai pada hari ini," titah baginda lagi.


Selaras dengan pendekatan pertahanan yang komprehensif, Kebawah DYMM seterusnya bertitah dari sudut Diplomasi Pertahanan, pada tahun ini yang amat signifikan dengan Sambutan Jubli Emas ialah hubungan pertahanan di antara ABDB dengan Angkatan Bersenjata Republik Singapura.


Dalam hal ini, baginda sukacita mengambil maklum beberapa aktiviti dua hala telah dan akan dilaksanakan secara bersepadu oleh ABDB bersama Angkatan Bersenjata Republik Singapura sebagai acara kemuncak.


Pada masa yang sama juga titah Kebawah DYMM lagi, hubungan pertahanan dengan negara-negara sahabat yang lain, baik yang dekat mahupun jauh, baginda terus menyarankan untuk sentiasa dipertingkatkan dan diperkukuhkan.


Close